Monday, May 21, 2012

Pagi Beriman, Petang Kafir ?


      1 Rejab 1433 H. 21 Mei 2012. Sudah 12,610 hari aku di'nyawa'kan di dunia ini. Manusia biasa yg masih dalam perjalanan. Berpaling ke kanan dan ke kiri, menoleh ke belakang, mendongak ke langit, menunduk ke bumi, melihat ke dalam, memandang ke hadapan. Memerhati kekuasaan Allah, berada, di mana² sahaja. Aku menaip sekadar untuk mengingati diri sendiri. Manalah tahu, satu hari nanti aku tidak mampu menaip lagi, hanya mampu membaca sahaja. Tiada siapa yg dapat memastikan. Persediaan. Masih berada di pentas akhir zaman dan di hadapan semua manusia, akhirat menunggu. Selagi belum mati, selagi itulah manusia Islam kena sedar bahawa akhirat sentiasa tersedia dihadapannya. Akhirat, destinasi akhir bagi semua manusia yg BERIMAN KEPADA HARI AKHIRAT dan JUGA KEPADA YANG TIDAK BERIMAN KEPADA HARI AKHIRAT. Sudahkah kita bersiap sedia? Nabi s.a.w bersabda :

"Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baiknya perhiasan adalah wanita solehah"

Dunia adalah perhiasan. Dah siap berhias ke? Dah siap ke hias-hias tu? Gurau je, jangan terguris. Walau apapun perhiasan yg dilakukan terhadap 'dunia-dunia', Allah tidak pandang pun kepada dunia² itu. Hiaslah apapun tetapi tanamkan dalam hati bahawa Allah hanya pandang kepada amalan dan hati seseorang manusia. Apa yg perlu ada di dalam hati? Iman (keyakinan kpd Allah). Apakah iman itu boleh bertambah dan berkurang? Nabi s.a.w bersabda:

"Iman itu boleh bertambah dan boleh berkurang, maka perbaharuilah imanmu dengan LAA ILAA ILLALLAH" (HR. Ibnu Islam)

     Benar, iman boleh bertambah dan berkurang. Pernah dengar/baca, manusia berkata "Iman turun dan naik", "iman lemah", "tiada iman", "mana imanmu", "iman terbatal"? Cuba cari di gedung maya ini. Apakah iman juga boleh terbatal tanpa disedari? Kitab Al Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. adalah 2 'hadiah' yg amat bernilai untuk manusia yg 'tahu' menghargainya. Tanpa Al Quran dan Sunnah Nabi s.a.w, manusia tidak tahu bagaimana cara hendak menjalani ‘hidup’ yang sebenar. Hadiah² YANG MEMBERI PERINGATAN untuk kita INGAT akan apa yang perlu DIINGAT

Islam tidak semestinya beriman?
     Seorang yang Islam tidak semestinya beriman, tetapi yang beriman itu sudah pasti seorang yang Islam. Banyak contoh tersedia di sekeliling kita untuk diambil pelajarannya bagi membentuk jiwa. Aku akui, jiwaku lemah. Diri aku belum tentu baik sebelum aku meninggalkan dunia ini. Selepas mati, baru aku tahu samada diri aku baik atau tidak. Apa-apapun boleh terjadi jika tidak berhati-hati di dalam kehidupan ini tanpa disedari. Perhatikan satu persatu dan belajarlah darinya. Malah, mungkin contoh² itu ada pada diri kita sendiri. Sentiasalah lihat pada diri sendiri. Apa yg kita sudah lakukan sehingga saat ini? Sempatkah kita menebus kembali dosa² kita?
     Kata², ‘Islam Kulit’, ‘Islam pada nama sahaja’ dan pelbagai gelaran lagi pernah didengari. Ada lagi yang mengatakan ‘kamu baru Islam tetapi belum lagi beriman’. Memang benar kata² itu dan ada peristiwa yang berlaku dan telah diperingatkan kepada manusia akan ceritanya di dalam Al Quran pada ayat di bawah:

Orang-orang " A'raab" berkata: "KAMI TELAH BERIMAN". Katakanlah (wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: ‘KAMI TELAH ISLAM'. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".
Al-Hujuraat, 14

     Apa kata manusia yg membaca terhadap kata² "kami telah beriman" dan "kami telah Islam"? Iman dahulu atau Islam dahulu? Dari ayat Al Quran di atas, Islam dahulu, baru beriman. Mesti ada sesuatu tersirat apabila Nabi s.a.w menegur sebegitu. Allah perintahkan supaya kita INGAT 'jika kita taat kepada-Nya dan Rasul-Nya, Dia (Allah) TIDAK AKAN MENGURANGKAN SEDIKITPUN DARI PAHALA AMAL² KITA'. Jika kita TIDAK TAAT, bagaimana? Bilakah waktu kita tidak taat? Sama² kita renung dan fikir dan jejakinya.
     Umat Manusia Islam pasti tahu bahawa Islam adalah agama yg diredhai Allah tetapi Umat Manusia Islam tidak mengetahui bahawa samada dirinya diredhai Allah atau tidak. Manusia Islam perlu mencari keredhaan Allah semasa (satu masa sahaja) berada di dunia ini. Tanya pada diri "Bagaimana sekiranya selepas membaca artikel ini, aku meninggal dunia"? Tiada jawapan.

Orang yang beriman akan diuji
     Dunia ini adalah tempat untuk macam² perkara. Bergantung kepada bagaimana seseorang manusia itu menempatkannya. Tempat untuk membina iman dan membina kekuatan iman, pun juga. Tempat kerisauan dan dukacita, pun ya juga. Berita² (luahan²) dukacita, sehingga kadang² berita² itu merisaukan diri kita. Risau duit tidak cukup, risau masa tidak cukup, risau tidak dapat menyiapkan kerja, risau tidak lulus peperiksaan, risau permohonan ditolak dan banyak lagilah kerisauannya. Risau yg paling bermakna adalah risau kepada diri sendiri samada sudahkah diri bersedia atau tidak untuk menghadapi kematian. Sekiranya, kita diberi 'keuntungan' di dunia ini, itu adalah kurniaan dari Allah. Allah Maha Kaya, Allah Maha Pemberi.
     Kadang² 'keuntungan' itu adalah ujian. Dunia juga adalah tempat ujian dan dugaan bagi manusia² yg beriman kepada Allah dan juga manusia² yg tidak beriman kepada Allah. Semua manusia, tidak terlepas dari ujian dan dugaan di dunia ini. Ada ujian yg sama dihadapi oleh manusia yg berbeza dan mungkin cara menghadapi ujian itu yg berbeza. Begitulah juga dengan manusia yg beriman. Ianya akan diuji, seperti mana yg tercatat di dalam Al Quran:

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
Al-'Ankabuut, 2

     Patutkah kita menyangka sekiranya kita beriman atau sekiranya kita beramal, kita tidak akan diuji? Ya. Manusia yg beriman akan diuji oleh Allah. Tidak akan dibiarkan dan ujian itu adalah untuk mengetahui siapa yg benar² beriman dan siapa yg tidak beriman. Nabi s.a.w telah maklumkan kepada kita semua. Firman Allah :

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.
Al-'Ankabuut, 3

     Maka, inilah dunia (langit dan bumi). Sepanjang keberadaan seseorang manusia di dunia ini, ada manusia yg diuji, mungkin diri anda sendiri telah diuji atau sedang diuji atau akan diuji. Tetapi sedarkah akan ujian itu? Ujian terhadap ilmu pengetahuan, ujian terhadap kecergasan, ujian terhadap apa yg telah diperkatakan dan banyak lagi ujian² di dunia ini. Ada manusia yg dapat melepasi semua ujian itu dengan tenang dan 'puas hati'nya kerana diuji. Pernah dengar manusia berkata "Allah uji kamu kerana Allah sayang kepada kamu". (Tetapi jangan sesekali minta diuji pula!!!)
     Tanya pada diri sendiri. "Benarkah aku ini orang yg beriman?" Ada jawapan tak? Inilah dunia, tempat ujian terhadap keimanan. Di sisi Allah, ada keputusannya. Allah akan uji iman kita, (maka banyak²lah bersabar) dan, dengan ujian itu akan nyatalah pada Allah tentang keimanan kita. Di dunia ini ada kata² "cakap tidak serupa bikin". Suruh orang lain bersabar tetapi apabila kena pada diri sendiri, jadi tak sabar pula. Aku pun begitu. Nak bagi nasihat kepada orang lain pun tidak berani kerana diri sendiri tidak kuat. Apapun, kekuatan iman perlu dibina dan diusahakan. InsyaAllah... Di akhir zaman ini, ujian terhadap keimanan semakin hebat. 

Hadis Peristiwa Akhir Zaman : Pagi Beriman, Petang Kafir
     Akhir zaman. Banyak hadis² tentang peristiwa akhir zaman. Nabi s.a.w telah pun menyampaikan peringatan seperti mana yg tercatat di dalam hadis di bawah:

"Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah saw. bersabda; "Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat terhadap iman) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman di waktu pagi, kemudian pada waktu petang dia sudah menjadi kafir, atau seseorang yang masih beriman di waktu petang, kemudian pada esok harinya, dia sudah menjadi kafir. Dia telah menjual agamanya dengan sedikit dari mata benda (kesenangan) dunia." (HR Muslim)

Ikan berkumpul sebelum Tsunami di Jepun
     Amat benar-lah kata² Nabi s.a.w. ini. Nabi s.a.w menyuruh agar manusia segera beramal sebelum menemui fitnah (ujian). Ujian dan dugaan terhadap iman semakin berat sehingga hampir tidak mengetahui mana satu yg benar dan mana satu yg salah. Belum pun sempat fitnah dipadamkan oleh kebenaran, datang lagi fitnah yg lain. Bertalu-talu datangnya (seperti malam yg sangat gelap). Cuba perhatikan gambar ikan berkumpul (kalau seekor nampak lagi, bila dah banyak sehingga gelap macam tu, tak tahu dah berapa ekor). Perhatikanlah dan susulilah.
     Beruntunglah kepada manusia yg dapat mengenali fitnah² itu. Kadang², kita tidak tahu bahawa itu adalah fitnah terhadap iman sebabnya mungkin amal kita kurang, ilmu pun sekadar yg ada, ada ilmu sahaja tapi tak beramal. Fitnah yg dimaksudkan adalah 'ujian' dan 'dugaan' terhadap iman bukannya seperti mana fitnah yang masyhur iaitu 'tuduhan ke atas seseorang'.

Ilustrasi
     Cuba perhatikan ilustrasi 'detik perjalanan hidup seharian' di bawah. Nabi s.a.w ada berkata ‘seorang lelaki di waktu pagi beriman dan di waktu petang telah kafir dan di waktu petang beriman dan pagi ia menjadi kafir, dia menjual agamanya dengan sedikit dari mata benda dunia’.


     Dapat diketahui bahawa seseorang itu tertipu dengan fitnah (ujian dan dugaan) sehingga menjual agama yg ada pada dirinya untuk mendapatkan sedikit kesenangan di dunia. Paling merisaukan aku, adalah perkataan 'kafir' yg dikatakan oleh Nabi s.a.w. Apakah ini bermakna iman seseorang itu boleh terbatal dengan mudah? Mungkin juga, kalau kita kurang berhati-hati dan waspada. Atau seseorang itu sekejap beriman dan sekejap kafir? Bila masa beriman? Bila masa kafir? Bila masa beriman semula? Iman sekejap masuk, sekejap keluar. Apakah kita sedar akan peringatan dari hadis ini? Gerun juga aku bila baca hadis ini kerana risau akan keadaan diri aku sendiri. Maka, aku taipkan di sini untuk berkongsikan kerisauan kepada sesiapa, agar kita sentiasa dapat menjaga iman kita dan berhati-hati di dalam dunia ini.

Tipu Daya Dunia
Tipu daya dunia
Dunia : Kau nak kesenangan dunia tak?
Manusia : Macamana tu?
Dunia : Senang je, kau jual agama kat aku..
Manusia : Orait.. Aku jual
Dunia: Aku beli. Nah.. Ini kesenangan dunia untuk kau..

     Mulai dari saat ini, marilah kita sama² mengambil tahu bagaimana iman seseorang itu boleh terbatal sebab Nabi s.a.w kata "beriman di waktu pagi, kafir di waktu petang. Dia telah menjual agamanya dengan sedikit dari mata benda (kesenangan) dunia". Risau juga. Apabila terbatalnya iman, segala amalan adalah sia-sia. Ini yg membuatkan aku risau. Dalam status ‘terbatalnya iman’ itu, segala amalan yg dilakukan dalam tempoh waktu itu adalah sia-sia. Rugi. Rugi. Semoga kita semua dilimpahi rahmat-Nya.
     Justeru itu, manusia Islam hendaklah memastikan dirinya sentiasa berada dalam keadaan beragama Islam. Aku menaip di sini sekadar ingin berkongsi apa yg difikirkan iaitu tentang 'terbatalnya iman’ dan kerisauan ini muncul apabila aku membaca hadis di atas berulang kali. Jika ada kesalahan dan kesilapan yg dikesan, silalah tegur samada melalui tangan (komen), lisan ataupun hati. Sebaliknya, manusia Islam rujuklah kepada manusia² Islam yg arif tentang agama Islam (ramai kat dunia luar sana). Selepas ini, carilah maklumat mengenai 'terbatalnya iman'.
     Firman Allah di bawah (Surah 3, ayat 102), Allah memberi amaran kepada orang² yg beriman supaya bertakwa dengan se-benar² takwa kepada-Nya dan Allah beri peringatan lagi, supaya orang² yg beriman tidak mati melainkan dalam keadaan beragama Islam. Bersegeralah beramal supaya kita tidak mati dalam keadaan tidak beragama Islam. Oouuhh...
Sekadar Peringatan
     Sentiasalah mengawasi diri kita untuk tujuan memelihara iman kita pada setiap masa agar tidak tertipu oleh dunia. Aku manusia yg lemah, insan biasa. Aku menaip bukanlah memaknakan bahawa aku ini baik, masih banyak kekurangan yg ada pada aku untuk menuju kesempurnaan. Masih banyak yg perlu disediakan untuk aku menghadapi kematian yg HANYA sekali datangnya. Subhanallah.. Ya Allah, bantulah kami untuk kami bersihkan jiwa kami..
     Sebenarnya, ada sesuatu yg aku nak kaitkan dengan hadis di atas ini iaitu "Seseorang yang masih beriman di waktu pagi, kemudian pada waktu petang dia sudah menjadi kafir, atau seseorang yang masih beriman di waktu petang, kemudian pada esok harinya, dia sudah menjadi kafir". Semua manusia sedang dalam perjalanan 'pulang'. InsyaAllah, umur panjang, jumpa di artikel yg akan datang. Wollohua’lam.

“Ya Allah, tetapkan kami dengan agama Islam dan peliharakanlah iman kami”

PERINGATAN: Surah 3, ayat 102
Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.

Nukilan : Kun Musafir Maya 

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
/* kun tambah radar